MENU

Latar Belakang Kuala Langat

Daerah Kuala Langat dibahagikan kepada dua kawasan pentadbiran iaitu di bawah pentadbiran Majlis Daerah Kuala Langat seluas 62.924 KM persegi dan selebihnya adalah di bawah pentadbiran pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.


Daerah Kuala Langat telah terkenal sejak dahulu lagi dengan keindahan pantainya terutamanya pantai Morib yang menjadi kawasan rekreasi utama. Selain itu terdapat juga kawasan bersejarah iaitu peninggalan daripada zaman pemerintahan Sultan Selangor di Bukit Jugra. Terdapat juga kawasan lain yang mempunyai daya tarikan pelancongan yang berasaskan ciri-ciri kebudayaan dan tradisi tempatan seperti perkampungan orang asli dan perkampungan melayu tradisi.

 

Asal-usul Nama Kuala Langat

Untuk mengetahui asal-usul Langat secara mudah ia dapat dikaitkan dengan sebatang sungai yang bernama Sungai Langat. Dari segi kedudukan Langat terletak di kuala sungai tersebut. Menurut sumber lisan ada yang mengatakan bahawa Langat itu berasal dari perkataan minangkabau yang membawa maksud " air hangat". Menurut sumber ini lagi pada masa dahulu pedagang-pedagang menggunakan Sungai Langat sebagai jalan perdagangan dan mereka mendapati air di bahagian kuala sungai tersebut sentiasa hangat. Lama kelamaan tempat dipersekitarannya disebut Kuala Langat.


Satu lagi sumber lisan menyatakan terdapat banyak ikan selangat di dalam sungai tersebut. Masyarakat melayu disekitar sungai itu dahulu terlibat dengan kegiatan menangkap ikan. Ada logiknya nama langat dikaitkan dengan banyaknya ikan selangat yang terdapat di sungai itu.